Followers

Saturday, 9 June 2012

Fakta Sains... "Ikan Buntal"

Ikan buntal juga dikenali sebagai "pufferfish" atau "blowfish". Ahli saintis berpendapat bahawa ikan buntal membangunkan keupayaan untuk mengembungkan dirinya sebagai adaptasi keselamatan diri. Ini seterusnya dapat memastikan kemandirian spesiesnya. Adaptasi ini dipercayai perlu kerana sifat ikan itu yang kurang pantas, agak cemerkap dan membuatkannya terdedah kepada ancaman pemangsa.

Apabila berhadapan dengan ancaman, ikan buntal akan menggunakan perutnya yang sangat elastik dan keupayaanya menelan sejumlah besar air (dan udara apabila perlu) dengan cepat. Tindakan ini menjadikan dirinya seperti bebola besar yang berganda saiznya. Saiz yang besar itu seterusnya mampu menakutkan pemangsa. Beberapa spesies juga mempunyai duri pada kulit mereka untuk menambah kegerunan untuk pemangsa.

Pemangsa yang berjaya memakan ikan buntal sebelum ia mengembung pula mungkin tidak akan hidup lama. Hampir semua ikan buntal mengandungi tetrodotoxin. Ia adalah sejenis bahan kimia yang membuatkan ikan itu kurang enak dan boleh membawa maut kepada pemangsanya. Walau bagaimanapun, bukan semua pemangsa takut kepada ancaman ikan buntal. Sesetengah pemangsa seperti jerung harimau (tiger shark) dan ular laut, tidak gentar dengan kehadiran toksin semulajadi ikan buntal.

Kepada manusia pula, tetrodotoxin adalah sesuatu yang boleh membawa maut. Ia adalah sehingga 1,200 kali ganda lebih beracun daripada sianida. Seekor ikan buntal mempunyai toksin yang mencukupi untuk membunuh sejumlah tiga puluh orang manusia dewasa. Lebih menakutkan lagi apabila tiada penawar pula yang diketahui.

Peliknya, ikan buntal juga dianggap sebagai makanan istimewa. Ia dikenali sebagai fugu di Jepun. Ia sangat mahal dan hanya disediakan oleh chef terlatih dan berlesen sahaja. Pakar- pakar profesional ini sahaja yang mampu memotong dan menyiang ikan itu supaya tidak membahayakan penggemar ikan itu. Namun begitu, banyak kematian akibat termakan racun ikan buntal dilaporkan setiap tahun.

No comments:

Post a Comment