Bagaimanakah burung yang berhijrah tahu ke mana arah tujuannya? Jawapannya berlainan bagi jenis burung yang melakukan penghijrahan jarak dekat dan juga yang melakukan penghijrahan jarak jauh.
Bagi kebanyakan spesies unggas air (waterfowl) dan kebanyakan penghijrah jarak dekat, ini melibatkan pembelajaran dari pengalaman.
Burung muda mempelajari laluan migrasi, lokasi pembiakan dan lokasi untuk menghabiskan musim sejuk daripada burung-burung yang lebih tua dan berpengalaman. Kebanyakan daripada burung-burung ini pula adalah ahli keluarganya.
Burung yang melakukan penghijrahan jarak jauh pula telah diprogramkan secara genetik sejak lahir lagi untuk melakukan penghijrahan ke satu lokasi dan dalam tempoh masa yang tertentu. Penghijrahan pertama adalah dibawah kawalan genetik sepenuhnya.
Burung-burung ini kemudiannya mengumpulkan semua maklumat dan pengalaman yang dipelajarinya dan menjadi semakin mahir. Sebagai contoh, jika ia menjumpai lokasi pembiakan atau lokasi yang sesuai untuk menghabiskan musim sejuk, ia akan kembali semula ke tempat ini pada masa hadapan dengan menggunakan semua maklumat yang telah dipelajarinya.
Eksperimen yang dilakukan terhadap burung indigo bunting telah menunjukkan bahawa salah satu penunjuk yang digunakan oleh burung bermigrasi ialah bintang. Burung bunting khususnya menggunakan corak gugusan bintang atau buruj (constellation) berhampiran dengan Bintang Utara (North Star).
Jika bunting muda dihalang daripada melihat langit malam semasa peringkat kritikal tumbesaran, ia tidak akan mampu untuk mengemudi sebaiknya. Kebolehan ini adalah sesuatu yang dipelajari dan bukannya diprogramkan secara genetik. Burung-burung lain yang berhijrah pada waktu malam juga mungkin menggunakan bintang sebagai penunjuk arah.
Walaupun butir-butiran mendalam tentang bagaimana burung melakukan penghijrahan tetap menjadi misteri, sekurang-kurangnya kita tahu bahawa pada asasnya, semua burung bermigrasi menggunakan pelbagai jenis penunjuk.
Spesies yang berbeza mungkin berpandukan lebih kepada satu penunjuk dari penunjuk yang lain. Ini juga bergantung kepada keadaan semasa.
Contohnya, apabila langit malam pada hari itu berada didalam keadaan mendung dan bintang pula tidak berapa kelihatan, burung yang berhijrah pada waktu malam terpaksa menggunakan penunjuk yang lain.
Penunjuk-penunjuk lain yang boleh membantu burung bermigrasi termasuklah; penggunaan rujukan medan magnet bumi, lokasi matahari terbenam dan corak cahaya yang dipolarisasikan, ciri-ciri topografi landskap (sungai, pantai dan banjaran gunung) dan pola arah angin yang meniup ke arah laluan penghijrahan.
No comments:
Post a Comment