Followers

Saturday 9 June 2012

Fakta sains.. " pernafasan "

Seperti mana manusia, haiwan juga mempunyai proses hidup seperti bernafas, berkumuh, bernyahtinja dan membiak. Proses-proses ini penting untuk kemandirian spesies haiwan.

Salah satu daripada proses itu ialah pernafasan. Haiwan perlu bernafas untuk terus hidup. Di dalam proses ini, ia menyedut gas oksigen dan menghembus gas karbon dioksida dan wap air.

Walaupun proses ini melibatkan gas yang sama, haiwan yang berbeza mempunyai sistem pernafasan yang berbeza. Lima struktur pernafasan haiwan ialah peparu (lungs), kulit lembap (moist skin), buku / kuras peparu (lung book), struktur trakea (tracheal structure) dan insang (gills).

Sistem pernafasan menggunakan peparu banyak digunakan oleh kebanyakan haiwan darat seperti monyet, ular, burung dan buaya. Walau bagaimanapun, ada juga haiwan akuatik yang menggunakan sistem pernafasan yang sama. Contoh haiwan-haiwan ini ialah ikan lumba-lumba, ikan paus dan juga penyu. Ilustrasi di bawah menunjukkan sistem pernafasan tikus.

Sistem pernafasan menggunakan peparu dan kulit lembap pula digunakan oleh haiwan seperti katak, kodok dan salamander. Cacing pula bernafas hanya dengan melalui kulit lembap. Melalui sistem ini, gas oksigen meresap masuk menerusi kulit yang lembap dan nipis dan terus ke dalam badan haiwan itu.

Sistem pernafasan menggunakan buku / kuras peparu banyak digunakan oleh haiwan seperti labah-labah dan kala jengking. Struktur pernafasan haiwan-haiwan ini kelihatan seperti helaian muka surat pada sebuah buku!

Sistem pernafasan menggunakan struktur trakea pula digunakan oleh serangga seperti pepatung, lipas, rama-rama dan belalang. Sistem trakea membawa udara masuk secara terus ke sel-sel badan serangga. Melalui sistem pernafasan ini, udara masuk ke dalam tiub udara melalui liang-liang halus bernama spirakel. Melalui liang yang sama, karbon dioksida akan keluar dari badan haiwan itu.

Sistem pernafasan menggunakan insang pula banyak digunakan oleh kebanyakan haiwan akuatik. Contoh-contoh haiwan yang menggunakan insang ialah ikan, ketam, udang, sotong dan berudu. Melalui sistem pernafasan ini, air yang masuk ke dalam mulut haiwan itu, mengalir ke insang. Gas oksigen yang dibawa bersama akan diserap oleh insang yang kemudiannya membebaskan gas karbon dioksida ke dalam air.

No comments:

Post a Comment